“Melayu lebih berani bersuara” – Perhimpunan aman mendapat pujian
Merdeka Review
Perhimpunan aman Mansuhkan ISA yang disertai kebanyakan orang Melayu, tetap mendapat pujian kerana lebih berani menyuarakan pendapat dengan cara yang aman, setelah segala saluran lain yang dicuba, tidak memberi kesan yang efektif.
“Bagi saya, merekalah Melayu yang lebih berani untuk menyuarakan pendapat secara terbuka, dan ini sesuatu yang cukup positif,” demikianlah pujian yang diberikan oleh Tang Ah Chai, CEO Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, kepada peserta perhimpunan pada 1 Ogos 2009.
“Berbeza dengan demonstrasi di negara seperti Korea dan sebagainya, yang ditonton melalui televisyen, ternyata perhimpunan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, memperlihatkan tahap disiplin yang tinggi. Malah, seandainya tidak dibedil gas pemedih mata dan dipancut meriam air berasid, aktiviti peserta sebenarnya hanya terhad di jalan raya.”
“Tiada senjata yang merbahaya, tiada kerosakan dilakukan. Membawa banner tu sesuatu yang biasa dalam amalan demokrasi,” ulas Tang Ah Chai, yang turut serta dalam perhimpunan Mansuhkan ISA pada hari Sabtu yang lalu.
UMNO pelopor demonstrasi
Utusan Malaysia hari ini membidas peserta Melayu perhimpunan Mansuhkan ISA dengan beberapa tulisan yang terpapar di akhbar tersebut, bertajuk “Tidak sedarkah Melayu sedang dihina?”, “Rosak bangsa, cemar agama”, “Melayu jangan jadi bacul”, “Jangan biarkan ‘pagar’ terus rakus memakan padi”.
Ketika mengulas hujah yang dikemukakan dalam tulisan-tulisan tersebut, Tang Ah Chai mengingatkan bahawa ketika Penjajah British mengusulkan penubuhan Kesatuan Malaya (Malayan Union), yang mendorong penubuhan UMNO seterusnya, UMNO-lah yang mengadakan demonstrasi di setiap pelusuk negara.