SHAH ALAM, 23 Februari – Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata dua syarat ditetapkan kerajaan negeri Selangor sekiranya Kerajaan Persekutuan ingin mengambil alih pengurusan konsesi air di negeri ini.
Menurutnya, dua syarat itu ialah Kerajaan Persekutuan tidak boleh menaikkan harga air pada 31 Mac ini serta mengekalkan pemberian percuma 20 meter padu kepada pengguna meter individu di negeri ini.
Abdul Khalid berkata pihak kerajaan negeri sedia mengadakan rundingan semula dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) bagi menyelesaikan proses pembelian itu.
Namun katanya, kerajaan negeri tidak akan mengubah harga tawaran yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu sebanyak RM5.9 bilion untuk mengambil alih syarikat konsesi itu.
“Walau apa pun yang berlaku kerajaan Selangor masih dengan harga tawaran sebelum ini dan jika tawaran itu diterima pihak kerajaan negeri sedia membayar RM5.9 bilion untuk mengambil alih harta konsesi itu.
“Dan jika konsesi itu diambil alih kerajaan Pusat, kerajaan negeri juga akan pastikan tiada kenaikan air dan akan terus memberikan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dataran Dewan Undangan Negeri Selangor di sini pagi tadi.
Perhimpunan bulanan kali ini dihoskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ramli Mahmud dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Abdul Khalid dalam ucapannya pagi tadi turut meminta pegawai kerajaan memahami usaha-usaha yang dibuat kerajaan Selangor dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Selain itu beliau juga turut menerangkan kapada penjawat awam mengenai bagaimana kerajaan negeri membuat keputusan mengenai rundingan air dengan pemegang konsesi air serta hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
“Saya mahu mereka faham bagaimana pemikiran kerajaan negeri untuk menentukan pembelian dari konsesi itu walaupun munasabah harganya tetapi tidak membebankan rakyat Selangor dari segi kenaikan harga air dan menentukan pemberian air percuma 20 meter padu diteruskan kepada pengguna meter individu,” katanya yang turut mengingatkan pegawai kerajaan tentang kemelesetan ekonomi yang melanda dunia hari ini.
Beliau juga berharap krisis ekonomi global itu juga akan menjadi peringatan kepada penjawat awam di negeri ini supaya bekerja dengan lebih cekap, berhemah dan berjimat cermat dalam apa jua keadaan supaya dapat memberikan sumbangan serta khidmat kepada rakyat Selangor. – MURIZA ABDUL HAMID, Sgorkini